Description
Banjir atau bah adalah suatu fenomena yang berlaku hampir saban tahun di kawasan mudah banjir di Malaysia. Banjir di Lembangan Sungai Kelantan pada Disember 2014 yang juga dikenali sebagai Bah Kuning merupakan salah satu banjir terbesar dan terburuk dalam sejarah negara. Namun, rujukan yang komprehensif berkaitan bencana banjir di Malaysia masih sangat terhad dan tidak sampai kepada pengetahuan umum.
Motivasi utama penulisan buku ini adalah untuk membantu menyalurkan maklumat dan pengetahuan kepada masyarakat umum supaya mereka mempunyai pemahaman yang betul tentang gejala dan sebab berlakunya Bah Kuning. Selain itu, maklumat dalam buku ini penting sebagai asas untuk merumus strategi kawalan dan pengurusan banjir pada masa akan datang.
Buku ini sesuai sebagai bahan bacaan separa ilmiah dalam memahami aspek berkaitan fenomena banjir. Isi kandungan buku ini telah dipermudah supaya dapat difahami oleh pembaca daripada pelbagai latar belakang. Buku ini mengandungi maklumat penting yang boleh meningkatkan kefahaman pembaca tentang faktor dedahan bencana banjir dan impaknya kepada manusia, harta benda, dan alam sekitar.