Description
Buku ini merupakan hasil kajian ilmiah selama tujuh tahun yang boleh dijadikan panduan secara komprehensif kepada mereka yang terlibat dengan pembangunan dan pengukuhan spiritual, nilai serta jati diri remaja, khususnya remaja muslim. Buku ini dengan teliti membincangkan aspek perkembangan fizikal dan pengukuhan spiritual remaja daripada perspektif Islam dan Barat. Perbincangan dilanjutkan dengan membincangkan pelbagai alat pengukuran spiritual yang telah dibangunkan oleh ilmuwan Muslim dan Barat. Alat-alat pengukuran kesejahteraan spiritual dari perspektif Barat memperlihat kekurangan terhadap konsep keimanan kepada Tuhan berbanding dengan pengukuran spiritual Islam. Namun, alat-alat pengukuran yang dibangunkan oleh ilmuwan muslim pula hanya memberi fokus kepada golongan dewasa dengan elemen-elemen yang diukur kurang sesuai dengan tahap perkembangan pengetahuan, kognitif dan emosi golongan remaja. Justeru, buku ini mengupas secara terperinci prosedur pembinaan serta penggunaan Indeks Kesejahteraan Spiritual Islam Remaja (IKSIR) dalam menilai tahap kesejahteraan spiritual remaja muslim. IKSIR merupakan alat pengukuran untuk mendiagnosis kesejahteraan spiritual golongan remaja yang terdiri daripada empat dimensi iaitu Keimanan, Ilmu, Ibadah dan Akhlak. Diharapkan buku ini dapat membantu golongan remaja, para pendidik, organisasi serta individu yang berminat dengan kesejahteraan spiritual daripada perspektif Islam dalam setiap peringkat usia perkembangan manusia.