Description
Konkrit adalah salah satu bahan binaan utama yang digunakan dalam pembinaan pelbagai jenis infrastruktur seperti bangunan, jambatan, jalan raya, empangan, terowong, dan jeti. Bahan yang diperlukan untuk membuat konkrit, iaitu simen, agregat kasar, agregat halus, dan air mudah diperoleh di kebanyakan tempat di seluruh dunia. Selain daripada itu, konkrit boleh dipelbagaikan bentuknya mengikut bentuk acuan, direka bentuk mengikut tahap kekuatan mampatan, dan ketahanlasakan yang diperlukan untuk sesuatu pembinaan.
Justeru, bagi memastikan struktur konkrit yang dibina dapat berfungsi dengan baik sepanjang tempoh hayat reka bentuknya, kefahaman tentang bahan yang akan diguna dalam bancuhan konkrit, keadaan persekitaran, dan proses pembuatan konkrit yang betul amatlah penting bagi menjamin kualiti konkrit.
Buku ini sesuai sebagai rujukan kepada mereka yang terlibat dalam industri pembinaan dan pelajar yang mengikuti program kejuruteraan awam.