Description
Minda Lestari menyediakan bahan segar bagi tatapan golongan pencinta alam dan mereka yang prihatin terhadap pelestarian alam sekitar. Masyarakat umum boleh menjadikan Minda Lestari ini sumber rujukan penting, kerana penulisnya bukan sahaja membicarakan soal isu dan kaedah penyelesaian secara yang mudah difahami, bahkan lebih dari itu, penulisnya juga menyelitkan unsur-unsur idealisme, kerangka dan cara berfikir selari dengan inisiatif pelestarian alam sekitar dalam pelbagai dimensi dan perspektif. Minda Lestari merungkaikan maksud serlahannya tentang pemikiran, gaya fikir dan disiplin akliah yang menjadikan kesejahteraan masyarakat sebagai matlamat pembangunan menerusi alam sekitar yang bersih dan selamat, sistem dan pengurusan yang cekap, dan dasar serta amalan gaya hidup selari dengan fitrah insaniah. Minda Lestari juga berkaitan dengan pemikiran atau minda kelas pertama. Memupuk minda kelas pertama juga adalah salah satu teras dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Minda kelas pertama bermakna pemikiran dan sikap yang progresif, maju dan proaktif yang membentuk budaya dan amalan hidup yang berkualiti yang setanding dengan bangsa dan negara maju. Minda Lestari turut menjawab persoalan-persoalan alam sekitar secara tuntas. Minda Lestari bukan buku teks, sebaliknya rantaian gagasan idea yang diungkapkan mengikut perkembangan isu semasa dan keperluan masyarakat. Malah Minda Lestari juga adalah catatan peristiwa yang dilalui penulis dalam konteks sumbangan kecil memajukan pemikiran dan gaya hidup selari dengan pelestarian pembangunan dan alam sekitar.