Description
Fiqh Islam ialah suatu khazanah ilmu yang dikagumi oleh para sarjana perundangan di dunia ini. Ianya menggariskan kaedah bagaimana Islam mengatur kehidupan seharian manusia atas landasan yang berpandukan al-Quran dan sunah sama ada dalam perkataan mahupun perbuatan yang akhirnya bergerak seiringan dengan objektif diciptakan manusia di muka bumi ini. Buku Peranan Usul Fiqh dalam Perkembangan Syariat Islam ialah hasil karya yang didasarkan atas kajian yang mendalam bagi memberikan pencerahan kepada umat Islam terhadap cara bagaimana sesuatu hukum yang ada diwujudkan dan hubung kait hukum dan ijtihad tersebut dengan sumber yang asal. Ia merangkumi keseluruhan aspek tentang asal Usul Fiqh Islam dan cara bagaimana para mujtahid mengistinbatkan sesuatu hukum dalam kerangka yang digariskan oleh Usul Fiqh. Perbahasan tentang Usul Fiqh yang dibentangkan dalam buku ini merangkumi kaedah hukum yang klasik dengan sentuhan keperluan untuk berijtihad bagi memastikan hukum yang kekal relevan kepada permasalahan yang terkini. Buku ini jelas berbeza dengan penulisan yang lazim kerana penulis telah memastikan bahawa Bahasa dan kaedah penjelasan yang digarapkan adalah mudah dan dapat digfahami oleh ramai pembaca hingga mereka yang bukan berlatarbelakangkan pendidikan agama pun akan dapat memahaminya.