Description
Perkembangan dan pembangunan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai lapisan, khususnya dari aspek psikologi dan kaunseling telah melalui pelbagai fasa perubahan yang signifikan. Perubahan ini menjadi tonggak utama dalam membantu ke arah pemerkasaan kesejahteraan dan modal insan. Pada hakikatnya, bidang psikologi pada masa kini dilihat amat signifikan dalam membantu memahami personaliti, tingkah laku, emosi dan proses kognitif seseorang individu. Bidang kaunseling pula dapat membantu para pengamal kesihatan mental dalam meningkatkan kefahaman serta peka terhadap keperluan penjagaan kesihatan mental yang baik dalam kalangan masyarakat amnya, serta membantu ke arah peningkatan profesionalisme bidang kaunseling.
Maka, pemerkasaan kesejahteraan insan ini telah dibincangkan melalui tujuh bab yang merangkumi pengenalan pendekatan psikologi dan kaunseling ke arah kesejahteraan insan, emosi takut dan sedih dari perspektif psikologi Islam, dan pengaruh ikatan kekeluargaan terhadap kesihatan mental pelajar. Selain itu, perbincangan dalam buku ini juga mencakupi pelbagai konteks, termasuk kemahiran interpersonal dan daya tahan wanita rentan, kaunseling dalam talian sebagai sokongan psikososial, intervensi krisis terhadap klien berisiko bunuh diri, dan peranan kaunselor terhadap kesediaan kerjaya dan efikasi kendiri pelajar. Hakikatnya, individu perlu memiliki pengetahuan dan kemahiran terkini dalam memupuk kesejahteraan insan. Penerapan ilmu psikologi dan kaunseling dalam buku ini juga diharapkan mampu memberikan cetusan idea yang segar dalam melahirkan generai modal insan yang lebih berdaya tahan, stabil, dan mampan.
Justeru, buku ini adalah bersesuaian untuk dijadikan sebagai bahan rujukan, khususnya buat para pengamal kesihatan mental di Malaysia. Buku ini boleh digunakan sebagai bahan rujukan kepada para pelajar dan pensyarah di kolej, maktab dan institusi pengajian tinggi, dan juga para kaunselor dan pendidik di sekolah. Buku ini juga boleh dirujuk oleh mana-mana individu atau kumpulan yang berminta untuk menambah pengetahuan dan Kemahiran dengan menggunakan pendekatan psikologi dan kaunseling, khususnya ke arah pemerkasaan kesejahteraan insan.