Description
Buku 100 Tumbuhan Perubatan di Taman Herba Negeri Perak ini memuatkan senarai tumbuhan herba yang terdapat di Taman Herba Negeri Perak. Tumbuhan-tumbuhan ini mewakili sebahagian daripada beratus-ratus tumbuhan herba yang tumbuh dengan kayanya di Malaysia. Khasiat serta petua yang terdapat pada setiap herba, iaitu dari akar hingga bunganya dikaji dengan teliti dan disenaraikan penawar bagi penyakit tertentu. Antara tumbuhan herba yang mempunyai petua sebagai ubat tradisional adalah seperti Misai Kucing bagi rawatan batu karang dan kencing manis, Kacip Fatimah sebagai herba kesihatan wanita, Air Pokok Kelapa sebagai penawar racun dan minyaknya sebagai sumber kesihatan, Dukung Anak bagi merawat luka dan penyakit darah tinggi serta Mas Cotek untuk mempercepat proses pemulihan selepas bersalin.
Selain petua tradisional, terdapat juga kajian yang dibuat secara saintifik ke atas tumbuhan herba dimuatkan dalam buku ini untuk membuktikan keberkesanan dan juga bagi menerokai penemuan baru dalam dunia perubatan. Daripada sekecil-kecil molekul yang terdapat dalam herba ini mampu memainkan peranan penting sebagai penawar sekali gus boleh mengurangkan pembentukan sel-sel penyebab penyakit. Molekul ini juga boleh diekstrak lalu dijadikan bahan utama dalam produk kesihatan. Justeru, pengamalan memakan terus herba ini mempunyai kelebihan dari segi nilai khasiatnya yang lebih asli kerana tidak dicampur dengan bahan-bahan asing yang lain.
Buku ini sesuai sebagai rujukan dan panduan kepada mahasiswa di Institusi Pengajian Tinggi, pelajar sekolah serta masyarakat umum tentang kelebihan khasiat tumbuhan herba yang ada di Malaysia ini bagi manfaat kesihatan bersama.