Description
Buku berjudul Autisme: Cabaran, Pedagogi Berkesan dan Hala Tuju memaparkan isu autisme secara ilmiah kepada para pembaca. Buku ini memerihalkan secara menyeluruh mengenai dunia autisme, cabaran yang dihadapi oleh semua pihak, pedagogi berkesan dan hala tuju masa depan golongan autisme. Dalam hal ini, konsep 8M yang merangkumi Menyedari; Menilai; Menerima; Mengubah; Menghayati; Membantu; Menyayangi dan Menghargai perlu diterapkan oleh semua lapisan masyarakat supaya golongan autisme mendapat peluang dan layanan yang sama rata dan adil dalam masyarakat. Selaras dengan itu, definisi, konsep autisme dalam beberapa sudut pandangan dan bagaimana cara mengenal pasti ciri-ciri autisme untuk meningkatkan kefahaman dan kesedaran masyarakat mengenai autisme turut dibincangkan. Buku ini turut melihat senario autisme pada abad ke-21, cabaran yang dihadapi oleh guru pendidikan khas, warga sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia, masyarakat, ibu bapa dan penjaga dalam konteks penyelesaian masalah autisme di Malaysia. Buku ini juga memberikan gambaran bahawa pedagogi yang bersesuaian, berkesan dan efektif perlu didedahkan kepada semua pihak supaya pelajar autisme boleh disalurkan ke dalam kehidupan normal. Pendekatan dan teknik pengajaran yang efektif sebagai panduan untuk memulihkan pelajar autisme juga diutarakan. Buku ini memuatkan peranan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan swasta, perkhidmatan pemulihan, pengajaran dan pembelajaran di Rumah (PdPR), home schooling, bagaimana membimbing golongan autisme supaya lebih berdikari untuk mencari nafkah selaras dengan pembangunan ekonomi negara. “Diharapkan buku ini dapat menjadi sumber rujukan yang paling penting kepada pelbagai pihak untuk meningkatkan konsep 8M di negara kita yang tercinta.”