Description
Bioteknologi merupakan satu disiplin ilmu yang berkembang pesat pada masa kini. Bidang ini telah memacu perkembangan teknologi baharu, khususnya dalam sektor perubatan, pertanian, dan industri makanan. Namun, di sebalik kemajuan yang dicapai, terdapat beberapa aplikasi bioteknologi yang menimbulkan kontroversi dari sudut etika dan syariah, terutamanya apabila melibatkan manipulasi genetik, pengklonan, serta teknologi DNA, dan protein rekombinan.
Bioteknologi dan Implikasinya Menurut Syarak merupakan sebuah karya penting yang menghubungkan perkembangan bioteknologi moden dengan prinsip-prinsip syariah Islam. Buku ini disusun dengan pendekatan merentas disiplin ilmu (interdisciplinary) yang menggabungkan bidang sains dan syarak, serta menawarkan pandangan yang mendalam berkenaan penerimaan atau penolakan terhadap aplikasi bioteknologi berdasarkan nilai-nilai Islam.
Setiap bab dalam buku ini disusun secara sistematik untuk membantu pembaca memahami konsep asas bioteknologi, di samping membincangkan kajian kes berkaitan aplikasi-aplikasi bioteknologi yang bersifat kontroversial. Perbincangan ini turut menekankan bagaimana prinsip syariah boleh digunakan untuk menilai dan menganalisi perkembangan bioteknologi secara kritis dan berdasarkan hujah yang kukuh
Bioteknologi dan Implikasinya Menurut Syarak ialah sumber rujukan yang bernilai bagi pelajar, penyelidik, dan ahli akademik, serta masyarakat umum yang ingin memahami hubungan antara sains moden dan agama. Buku ini juga berpotensi menjadi inspirasi kepada kajian lanjut, khususnya dalam bidang integrasi antara sains dan Islam.



