Description
Buku Fiqh Tauhid dalam Akidah Islam memfokuskan kepada kefahaman dan pengertian yang seharusnya dimiliki setiap Muslim–Mukmin dalam berakidah. Ini merupakan penulisan ilmiah yang pertama di negara ini dengan judul sebegini. Umumnya penulisan berkaitan akidah dipenuhi dengan konsep falsafah dan perdebatan Ilmu Kalam berupa aktiviti akal secara teori. Justeru, penekanan kepada memahami akidah sebenar sepertimana dikehendaki oleh al–Quran dan Sunnah tidak menjadi tujuan utama.
Hal ini sebenarnya melemahkan akidah bukan mengukuhkannya. Tepat sepertimana kata al–Imãm Abu Hãmid al–Ghazãlî rahimahullãh (m.505H): “Jalan menguatkan dan memperkukuhkan akidah bukanlah dengan mengajarkan cara berdebat dan pembuktian ala Ilmu Kalam. Malahan dengan memperbanyak bacaan al–Quran serta tafsirannya dan meneliti hadis–hadis serta pengertiannya. Juga dengan menekuni mengerjakan ibadat. Maka sentiasalah keyakinan itu bertambah meresap disebabkan dalil–dalil al–Quran yang mengetuk pintu hati dan telinga, serta kesaksian–kesaksian hadis yang didengar dan dibaca dengan faedah–faedah yang terkandung di dalamnya. Juga oleh cahaya ibadat yang memancar ke hati waktu melaksanakannya; selain itu ia terhasil dengan bergaul bersama orang salih dan duduk dalam majlis mereka, hal ini menimbulkan rasa tunduk, takut, dan taat kepada Allah serta melekat dalam dirinya. Permulaan keyakinan seumpama menaburkan biji benih ke dalam dada, sementara sebab–sebab di atas bagaikan siraman dan pemupukan hingga benih tadi tumbuh menjadi pohon yang baik dan kukuh, akarnya menunjang di bumi sedang dahannya menjulang ke angkasa. Sayugia juga hendaklah diawasi daripada mendengar jadal (perdebatan) dan Ilmu Kalam, lantaran kecelaruan fikiran yang timbul hasil mendengarnya lebih banyak daripada kebaikannya. Memperkuatkan keyakinan (iktikad) dengan perdebatan samalah dengan memukul sebatang pohon dengan penumbuk besi dengan harapan pohon tersebut semakin kuat dan menambahbanyakkan bahagian–bahagiannya. Hal sebegini biasanya akan menghancurkan dan merosakkannya” (Ihyã’ ‘Ulum al–Dîn, 1:94).
Buku ini sesuai untuk pelajar, guru, pensyarah, kaum intelektual, dan masyarakat umum yang berhasrat mendalami dan memahami akidah Islam bersumberkan al–Quran dan Sunnah.