Description
Buku rujukan dalam bidang teknikal dan kejuruteraan khususnya berkaitan kimpalan arka dalam bahasa Melayu masih kurang di pasaran. Oleh sebab itu, penulis telah mengambil inisiatif untuk menghasilkan buku ini. Penulis ialah seorang yang terlibat secara langsung dalam industri pembuatan dan pendidikan teknik vokasional di sebuah institusi pengajian tinggi awam.
Buku Kimpalan Arka ini mengandungi 11 bab yang secara khusus membincangkan tiga jenis proses kimpalan arka secara mendalam, iaitu (SMAW, GMAW dan GTAW) dan tiga proses kimpalan arka yang lain secara umum, iaitu (FCAW, PAW dan SAW). Buku ini bertujuan memberikan pengenalan asas yang mantap berhubung dengan asas-asas aktiviti kimpalan arka. Setiap bab dimuatkan dengan pengetahuan teori dan amali yang secukupnya dan setiap topik yang dibincangkan dalam setiap bab telah disusun dengan teratur. Buku ini juga mengandungi maklumat serta pengenalan kepada pematuhan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Pendekatan yang diambil adalah dengan membincangkan kepada pengenalan dan kaedah pengendalian kerja selamat yang berdasarkan amalan semasa di lapangan, tempat kerja, pusat latihan atau di dalam bengkel kejuruteraan. Buku ini juga dapat menjadi sumber rujukan tambahan bagi meningkatkan pengetahuan dan kefahaman asas berhubung dengan bidang kimpalan arka yang ditulis dalam bahasa Melayu dengan gaya bahasa yang mudah difahami.
Buku ini amat sesuai digunakan oleh pensyarah, guru, pengajar vokasional, pelatih dan pelajar di pusat pengajian tinggi serta institusi kemahiran teknik vokasional yang berada dalam bidang teknikal dan kejuruteraan. Buku ini juga amat sesuai untuk pelajar-pelajar sekolah menengah yang mengikuti mata pelajaran reka cipta untuk mereka meneroka potensi diri dalam bidang kejuruteraan.