Description
Dalam dunia yang semakin mencabar dengan tekanan kerja, isu keluarga, hubungan yang kompleks, tuntutan digital dan perubahan hidup yang berterusan, semakin ramai yang mencari erti kesejahteraan hidup. Buku Menuju Hidup Sejahtera hadir sebagai panduan praktikal untuk membantu pembaca memahami diri, mengurus cabaran dan kecerdasan emosi serta membina kehidupan yang lebih tenang serta bermakna.
Buku ini menghimpunkan enam dimensi penting kesejahteraan, iaitu eksplorasi diri, emosi, mental, tingkah laku, sosial serta spiritual dan penguasaan persekitaran melalui 22 bab yang boleh dibaca secara bebas mengikut keperluan pembaca. Isinya merangkumi minda sihat, pembinaan matlamat, keberanian keluar daripada zon selesa serta kebolehsuaian diri. Kesejahteraan emosi dihuraikan melalui panduan menyayangi diri dan mengawal emosi sedih serta marah secara sihat. Bagi aspek mental, pembaca dipandu berfikir secara rasional, membetulkan herotan kognitif dan membina daya tahan mental. Seterusnya, kesejahteraan tingkah laku diperincikan melalui kemahiran membuat keputusan, menjadi asertif serta mengurus masa dan stres dengan lebih berkesan.
Hubungan sosial pula diperkukuh melalui pemahaman Model Tingkap Johari, amalan menolong secara prososial dan altruistik, empati dan kemaafan, manakala aspek spiritual dan penguasaan persekitaran turut disentuh dengan membincangkan pencarian makna hidup, pengurusan konflik, cabaran era digital dan keseimbangan antara kerja dan kehidupan.
Melalui garapan bahasa yang mudah, contoh kes yang dekat dengan realiti harian serta aktiviti refleksi kendiri yang interaktif, buku ini menawarkan panduan yang jelas, praktikal dan mudah difahami. Justeru, buku ini sesuai untuk pelajar, pekerja, suri rumah, ibu bapa dan sesiapa sahaja yang ingin memperbaiki kualiti diri dan hubungan serta menikmati kehidupan yang lebih sejahtera. Jadikan buku ini teman perjalanan untuk mencapai ketenangan, kekuatan diri dan kehidupan yang lebih harmoni serta bermakna.



