Description
Aspek keselamatan sentiasa menjadi agenda utama pihak pengurusan dan pentadbiran universiti terutama pada peringkat pengurusan makmal dan bengkel universiti. Peraturan berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan serta kebajikan pekerjaan di makmal dan bengkel perlu diberi perhatian serius dan perlu dipatuhi bagi mengelakkan daripada berlakunya sebarang kemalangan ketika bekerja. Aktiviti pengajaran, pembelajaran, dan penyelidikan yang dilaksanakan di makmal dan bengkel boleh mendatangkan hazad dan risiko sekiranya aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan diabaikan. Justeru itu, buku Panduan Umum Keselamatan Makmal dan Bengkel Universiti ini diterbitkan untuk mewujudkan budaya kerja yang selamat dan sihat dalam kalangan warga UTM dan orang luar yang menggunakan fasiliti UTM.
Buku ini mengandungi tujuh bab yang mencakupi aspek umum keselamatan dan kesihatan pekerjaan di makmal dan bengkel termasuk langkah-langkah keselamatan yang perlu dipatuhi. Kandungan buku disusun secara rapi supaya pembaca mudah mencari, memahami, dan menghayati maklumat keselamatan yang diperlukannya. Buku ini juga sesuai dijadikan panduan dan rujukan kepada institusi pengajian lain yang melibatkan makmal dan bengkel, misalnya sekolah, politeknik, serta pusat-pusat latihan seperti kolej kemahiran tinggi MARA, institut kemahiran MARA, dan Giat MARA.