Description
Pengenalan Pedagogi membicarakan beberapa tajuk yang dapat membantu guru pelatih memahami dan menguasai kemahiran mengajar di dalam bilik darjah seiring dengan saranan dalam etika perguruan yang memerlukan guru meningkatkan pengetahuan dan kemahiran. Perbincangan awal dimulakan dengan meneroka maksud pedagogi, kepentingan guru menguasai ilmu pedagogi, dan elemen dalam pengajaran dan pembelajaran. Selanjutnya, perbincangan mencakupi model pengajaran dan ciri-ciri pengajaran yang berkesan. Strategi pengajaran di bilik darjah juga dibincangkan yang merangkumi beberapa pendekatan dan gaya pengajaran dan pembelajaran yang diaplikasi pada masa kini. Antaranya strategi pengajaran KBSM yang menghuraikan pendekatan bersepadu yang meliputi Bahasa Melayu Merentas Kurikulum (BMMK), nilai merentas kurikulum, dan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif. Selain itu, penggunaan objektif pengajaran dalam pengajaran, khususnya objektif tingkah laku turut dibincangkan. Buku ini turut menganalisis komponen dalam perancangan pengajaran dan menyediakan beberapa contoh perancangan pengajaran bagi memenuhi keperluan guru pelatih. Buku ini juga turut mengetengahkan aspek pengurusan bilik darjah, masalah disiplin, dan teknik meningkatkan disiplin di dalam bilik darjah. Untuk meningkatkan lagi keberkesanan pengajaran guru, isu berkaitan profesionalisme guru turut dibincangkan. Buku ini sesuai sebagai sebagai rujukan kepada guru pelatih, guru-guru dan sesiapa sahaja yang berminat tentang bidang perguruan.