Description
Buku `Seiring Mengukir Kegemilangan: 30 Tahun UTM di Negeri Johor‘ dihasilkan sebagai usaha murni Universiti Teknologi Malaysia (UTM) merakam, melakar, dan merefleksi sejarah, peranan, pencapaian serta sumbangannya selama 30 tahun kepada pembangunan negeri Johor.
UTM telah membangunkan kampus induknya di Johor yang bermula pada tahun 1978 dengan ciri seni bina Melayu-Islam yang unik dan indah. Perancangan, pembangunan, dan kemajuan UTM dari segi infrastuktur seiring dengan projek pembangunan yang bermula di bawah Rancangan Malaysia ke-3 (RMK-3) sehingga yang terkini Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10). Perancangan, pembangunan, dan pencapaian UTM di Skudai ini diasaskan dengan watak dan roh falsafah yang syumul dan holistik dalam memartabatkan sains, teknologi, dan kejuruteraan. Malah, ia terjelma dalam falsafah UTM sendiri yang meletakkan ketuhanan yang paling tinggi dalam pencapaian ilmu dalam bidang sains, teknologi, dan kejuruteraan.
Buku yang sarat dengan pelbagai gambar dan ilustrasi ini merupakan bukti penting UTM telah menyumbang idea, pemikiran dan kepakaran dalam membangunkan Johor sebagai salah sebuah negeri yang termaju di Malaysia sejak penghijrahannya ke kampus Skudai pada tahun 1985. Limpahan dan nilai tambah dapat dirasai oleh semua pemegang taruh, masyarakat, pelajar, industri, dan kerajaan Johor sendiri. Menerusi perundingan, penyelidikan dan inovasi, UTM bukan sahaja menjadi `enjin pembangunan’ tetapi juga sebagai `jantung masyarakat’ dalam menjana kelestarian dan pembangunan mapan dalam pelbagai bidang. Perkongsian kepakaran dan pemikiran (knowledge and brain sharing), guna sama dan kolaborasi antara UTM dan Kerajaan Johor menjadi semakin penting dan signifikan dalam konteks pembangunan Negeri Johor dan Iskandar Malaysia khususnya. Keberadaan UTM di pentas global serta pembangunan Johor yang strategik dan pesat merakyat pada masa kini adalah natijah daripada pemuafakatan antara keilmuan-kepakaran dan urus tadbir-kepimpinan kedua-dua belah pihak.
Sejak 30 tahun yang lalu, terlalu banyak detik dan peristiwa kejayaan dan kecemerlangan yang digapai oleh UTM pada peringkat nasional, serantau mahupun global. Perkembangan dan pembangunan fakulti sebagai wadah penerokaan dan penciptaan ilmu menerusi pengajaran dan penyelidikan semakin bertambah berdasarkan pragmatisme dan dinamisme keperluan global. Justeru, kemahiran insaniah menjadi elemen yang penting dalam melahirkan modal insan yang profesional dan kompeten yang digarap menerusi kurikulum dan kokurikulum mahasiswa.
Sehubungan itu, buku ini menjadi sebahagian daripada rakaman garis masa dan perjalanan sejarah yang amat berharga kepada semua warga UTM yang telah terlibat dalam penubuhannya di bumi bertuah di Negeri Johor serta generasi kini dan yang akan datang.