Description
Universiti sinonim dengan gedung ilmu. Kemuliaan gedung ilmu selalu dikaitkan dengan menara gading yang melambangkan ketinggian maruah, kemuliaan martabat dan keluhuran akhlak. Gagasan universiti pula sarat dengan idealisme. Penubuhan sesebuah universiti, khususnya UTM mempunyai sejarah yang seharusnya memantapkan idealisme kita untuk memberi sumbangan intelektual kepada kelangsungan bangsa, agama dan negara. Justeru, tugas ini merupakan suatu amanah besar yang perlu dipikul secara kolektif tanpa keluh–kesah atau jemu, apatah lagi rasa terseksa! Pada kesempatan di awal tahun 1430H / 2009M ini, saya ingin mengajak seluruh warga UTM untuk mempertulus niat, memugar minat, mengalirkan keringat dan menghayati amanat untuk menggunakan seluruh potensi, kekuatan dan kebolehan menjadikan akademia sebagai wadah perjuangan memartabatkan bangsa, agama dan negara. Kecemerlangan dan kegemilangan akademia adalah manifestasi tentang komitmen kita terhadap ilmu dan budaya ilmu. Kita bercita-cita tinggi mengangkasa pengajian tinggi, memartabatkan UTM pada kedudukan yang terbilang. Cita-cita yang tinggi bermakna niat dan keinginan yang akan mendorong, iaitu berusaha lebih gigih, bekerja lebih sistematik, dan terus belajar memajukan diri dan organisasi. Kita juga perlu kembali kepada asas dan peranan kita sebagai pendukung tradisi intelektual untuk melahirkan modal insan yang bermaruah, berketrampilan dan memenuhi ciri-ciri sebagai universal man atau insan kamil.