Description
Percintaan Puteh yang nama asalnya Luis de Souza dengan seorang perempuan Melayu bernama Melati berkembang subur pada zaman kegemilangan kerajaan Portugis di Melaka. Luis anak seorang pedagang rempah yang kaya raya telah berjaya dengan cemerlang dalam latihan ketenteraan di Lisbon sehingga menjadi seorang kapten yang bertanggungjawab menjaga keselamatan kota A Famosa. Walau bagaimanapun, akibat pencerobohan tentera Belanda, kebahagiaan mereka berakhir apabila Melati dibunuh dengan kejam.Perjuangan Puteh yang bermula dengan semangat menuntut bela telah bertukar kepada jihad fi sabilillah untuk membebaskan Melaka daripada penguasaan kerajaan Belanda yang rakus dan kejam. Segerombolan pejuang Melayu diketuai Puteh yang diberi gelaran Datuk Panglima oleh para pengikutnya, menjadi duri dalam daging kepada pemerintahan Belanda di Melaka. Namun demikian, sudah menjadi fitrah dalam setiap perjuangan, terdapat petualang yang mengkhianati segala usaha murni Puteh. Peperangan sengit terakhir antara para pengikut setia Datuk Panglima Puteh dengan tentera Belanda berakhir dengan tragedi angkara pertualangan. Namun, di sebalik tragedi yang tragis itu, masih ada harapan terhadap perjuangan suci Datuk Panglima Puteh diteruskan.