Description
Hadiah Nobel & Kreativiti Sains adalah sebuah buku yang digarap pada masa, tempat dan suasana yang amat signifikan pada hari ini. Idea untuk menulis buku ini tercetus daripada iltizam Universiti Teknologi Malaysia untuk cemerlang dalam bidang sains dan teknologi berasaskan kreativiti. Pada hemat penulis, buku ini mampu menyemarakkan lagi iltizam UTM untuk menjadi universiti berkelas dunia dalam konteks sains dan teknologi. Kesedaran terhadap pentingnya kreativiti dalam memperkasakan sains dan teknologi tidak dapat ditolak. Malah, Yayasan Nobel telah mengangkat kreativiti sebagai tema rasminya sempena ulang tahun yang ke–100 Hadiah Nobel. Ramai pemimpin, sarjana dan pendidik mengakui peranan kreativiti amat penting dan berpengaruh dalam melahirkan individu dan masyarakat yang kreatif dan inovatif bukan sahaja dalam bidang sains dan teknologi, malah bidang–bidang yang lain. Dalam tradisi Hadiah Nobel, kreativiti dilihat sebagai kebolehan saintis menghasilkan penemuan–penemuan yang luar biasa. Eureka! dan Aha! adalah istilah kreativiti yang menandakan sesuatu penemuan sains telah ditemui tanpa disangka. Begitu juga halnya dalam sejarah penemuan sains dalam konteks Hadiah Nobel. Namun begitu, kreativiti dalam sains dan teknologi bukanlah semata–mata kerana nasib, imaginasi, keinginan dan peluang. Sesuatu penemuan yang hebat dalam sains tidak akan mampu ditemui tanpa adanya prepared mind. Suatu usaha tidak akan datang bergolek tanpa ikhtiar, iltizam, semangat dan ketekunan yang tinggi. Justeru, buku ini mengupas konsep, fungsi dan peranan kreativiti saintifik dalam konteks sains dan teknologi.