Description
Kemampanan aktiviti ekonomi menjadi penanda aras penting bagi mengukur tahap kemajuan dan kemampuan komuniti luar bandar. Kepelbagaian aktiviti ekonomi yang wujud dapat menjadikan sesuatu kawasan atau daerah itu sebagai salah satu tarikan untuk menarik pelabur luar serta menjadikan tempat tersebut sebagai destinasi pelancongan. Walau bagaimanapun, cabaran dan tekanan ekonomi semasa terutamanya dalam peningkatan kos bahan mentah dan kurangnya inovasi dalam sektor perusahaan telah menjadikan sesetengah aktiviti ekonomi seperti pertanian mengalami kemerosotan nilai komersial.
Suatu model baharu ekonomi luar bandar telah dirangka bagi membolehkan kelangsungan aktiviti seperti pertanian, penternakan dan sebagainya terus berkembang serta mampu berdaya saing pada abad ke-21. Model baharu ini menuntut semua pihak menjalankan peranan masing-masing, iaitu dengan memupuk semangat muafakat serta cara kerja berinovatif dalam kalangan penduduk. Hal ini dapat dibuktikan dengan melihat kejayaan yang dikecapi oleh kampung pemenang Anugerah Desa Cemerlang dan juga kampung pemenang Anugerah Desa Sejahtera 1Malaysia.
Buku ini berperanan sebagai bahan rujukan yang komprehensif tentang pengurusan sumber aktiviti ekonomi yang akan menjana nilai komersial dan memberi keuntungan jangka masa panjang.