Description
Anak kelahiran Kampong Temerloh, Trong, Taiping, Perak ini mendedikasikan lebih separuh daripada usianya di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Sejarah beliau dengan UTM bermula pada tahun 1980 apabila diterima sebagai pelajar Diploma Kejuruteraan Awam. Tiga tahun kemudian, beliau ditawarkan berkhidmat di UTM sebagai Penolong Penyarah B dan kerjayanya berterusan di UTM sehingga akhirnya diamanahkan menerajui universiti berkenaan. Buku ini merupakan sebuah memoir mantan Naib Canselor UTM ke-6 (2013-2020), iaitu Profesor Emeritus Datuk Ir. Dr. Wahid Omar. Penulisan ini merupakan olahan semula hantaran santai #memori40tahunbersamaUTM yang dikongsi oleh beliau dalam 40 hantaran di Facebook Wahid Omar bermula pada 18 April 2022 dan berakhir pada 26 Mei 2022, iaitu hari terakhir penulis berkhidmat di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Buku ini sesuai dibaca oleh ahli akademik, pengurusan universiti pada pelbagai peringkat, warga universiti dan seluruh lapisan masyarakat, khususnya warga UTM untuk mengetahui perjalanan dan sejarah hidup seorang tokoh akademik kelahiran UTM.