Description
Menjalani kehidupan di kampus, terutama bagi yang pertama kali berpisah dan berjauhan daripada keluarga, saudara mara dan rakan taulan – pastinya setiap detik masa yang ditempuh dan diharungi menjadi cabaran dan rintangan. Sememangnya, berhadapan dengan cabaran dan rintangan tersebut tidak semudah yang disangkakan. Sekalipun demikian, alangkah baiknya jika cabaran dan rintangan yang dihadapi itu dapat dijadikan sebagai pendorong oleh setiap mahasiswa yang ingin mencipta kejayaan. Namun, penerbitan buku ini diharapkan mampu membimbing dan membantu para mahasiswa baru menghadapi cabaran dan rintangan tersebut dengan bersiap siaga dari aspek mental, psikologi dan kemahiran belajar. Rentas kandungan buku Mencipta Kecemerlangan Diri ini berupaya menyediakan panduan kepada mahasiswa teknik atau cara, bagaimana untuk berhadapan dengan profesor, membina jaringan, mengurus stress dan menjadi seorang pemimpin mahasiswa yang berjaya. Di samping itu, Mencipta Kecemerlangan Diri merupakan manifestasi pandangan ikhlas seorang pendidik yang sentiasa ingin melihat mahasiswanya mempunyai kemahiran diri untuk menghadapi alam kerjaya. Mencipta Kecemerlangan Diri ini juga diharapkan dapat menyelami pemikiran dan perasaan mahasiswa apabila mereka mula menjalani kehidupan baru di kampus. Diharapkan juga buku Mencipta Kecemerlangan Diri ini dapat menjadi antara buku terawal dibaca sejak bergelar mahasiswa, bahkan terus dijadikan rakan dalam kehidupan para mahasiswa sepanjang mereka menjalani pengajian di universiti ini. Semoga buku ini akan sentiasa menjadi rakan bestari para mahasiswa dalam proses pembentukan siasah diri yang lebih cemerlang.