Description
Melangkah kaki ke institusi pengajian tinggi merupakan saat yang paling menggembirakan bagi kebanyakan pelajar. Dunia menara gading merupakan satu dunia baru yang penuh dengan cabaran dan onak duri yang tidak kurang hebatnya. Dalam masa tiga atau empat tahun, setiap siswa-siswi perlu mengatur kehidupan mereka dengan sebaik mungkin agar perjalanan kehidupan di kampus memberikan hasil yang membanggakan. Namun begitu, bukan semua yang bergelar siswa atau siswi berjaya mencapai gelaran graduan kerana ramai yang kecundang di pertengahan jalan akibat lupa akan hakikat kehadiran mereka di kampus.
Buku Menyemai Impian Menuai Kejayaan memuatkan peringatan dan panduan kepada siswa-siswi institusi pengajian tinggi mengenai beberapa aspek penting dalam menjalani kehidupan kampus, misalnya seperti menyesuaikan diri dengan persekitaran dan membina matlamat pengajian. Siswa-siswi didedahkan tentang teknik pengurusan masa yang baik agar mereka peroleh manfaat kaedah terbaik hasil daripadanya. Selain itu, buku ini juga memperihalkan kepentingan kesihatan, iaitu fizikal dan mental yang mempengaruhi kecerdasan otak bagi menghadapi pengajian. Penulis bukan sahaja menekankan kepentingan mendalami strategi pembelajaran, malah siswa-siswi didedahkan dengan kemahiran perihal perancangan yang baik dalam pembelajaran, iaitu menguasai kemahiran belajar dan strategi pembelajaran. Seterusnya, penulis turut mengupas masalah lazim yang sering dihadapi siswa-siswi, iaitu krisis kewangan dan kepentingan pengurusan kewangan yang baik, di samping peringatan dalam menjaga batas hubungan sosial. Penulis mengakhiri perbincangannya dengan memberi gambaran dan harapan agar apa yang dilakukan siswa-siswi pada hari ini bakal membuahkan hasil yang membanggakan selaras dengan judul Menyemai Impian, Menuai Kejayaan.