Description
Sistem pendidikan di Malaysia adalah pada tahap pembangunan yang sentiasa berubah mengikut keperluan semasa. Prospek pembangunan pendidikan perlu mengambil kira perkembangan dunia luar dan berbentuk masa depan. Sebarang perubahan yang melibatkan aktiviti memerlukan pengurusan yang terancang dan penglibatan organisasi yang menyeluruh atau pada tahap maksimum. Buku ini menerangkan kepada para pembaca terutamanya pengurus organisasi seperti pengetua di sekolah atau ahli kumpulan yang menjadi pemimpin kepada diri sendiri, fungsi setiap komponen organisasi dalam menjayakan projek atau program pendidikan. Kejayaan sesuatu projek sangat bergantung pada organisasi yang dibangunkan untuk bekerja ke arah pencapaian matlamat yang diingini. Malah, pembangunan organisasi adalah strategi kepada kejayaan sistem pendidikan. Kegagalan sesuatu polisi mungkin berpunca daripada organisasi yang lemah.
Kaedah membangunkan organisasi bagi mencapai matlamat adalah sesuatu yang kritikal yang perlu difikirkan bersama. Motivasi dan strategi pula adalah ciri utama yang perlu diberi perhatian oleh pemimpin, selain kemahiran mengurus yang meliputi perancangan, pelaksanaan, koordinasi, dan pemantauan. Beberapa contoh projek diberikan pada akhir buku ini meliputi perancangan projek, organisasi dan belanjawan serta aktiviti penyelarasan, pemantauan dan penilaian yang menjadi alat kepada pengurus dan ahli kumpulan.