Description
Dunia hari ini sedang menyaksikan perkembangan yang cukup pesat dalam era isyarat digit. Setiap peralatan dan perkakasan yang berasaskan elektronik yang ada di sekeliling kita menggunakan isyarat berbentuk digit. Oleh itu, pemahaman terhadap konsep isyarat digit khususnya kepada para jurutera dan tenaga pengajar yang terlibat dalam bidang berkaitan adalah penting. Buku ini mengandungi lapan bab yang disusun mengikut tahap pemahaman. Bab pertama membincangkan pengenalan isyarat digit dan ciri-cirinya. Bab kedua memuatkan perwakilan dan ciri isyarat dalam domain frekuensi. Konsep ini amat penting untuk menerangkan proses sampelan, iaitu proses menukarkan isyarat analog ke isyarat digit yang dimuatkan dalam bab ketiga. Bab keempat pula menerangkan berkenaan satu jelmaan matematik yang penting untuk isyarat digit, iaitu jelmaan-z. Penggunaan jelmaan-z ini ditunjukkan dalam bab kelima. Bab keenam pula menerangkan tentang reka bentuk penapis digit, manakala bab ketujuh pula dikhaskan untuk perwakilan sistem digit menggunakan kaedah carta alir isyarat. Bab kelapan pula menerangkan kaedah jelmaan Fourier digit yang diguna untuk mendapatkan perwakilan frekuensi. Contoh-contoh menggunakan komputer dan perisian Matlab juga dimuatkan dalam buku ini sebagai membantu pembaca memahami penggunaan perisian ini dalam operasi isyarat digit. Selanjutnya, pada setiap akhir bab, latihan disediakan bagi menguji kefahaman pembaca. Buku ini sesuai menjadi bahan bacaan dan rujukan khusus untuk pelajar dalam jurusan kejuruteraan elektrik dan juga kepada mereka yang ingin memahami bidang ini.